Home » » Berita : Penguatkuasa diserang 7 lelaki senjata parang

Berita : Penguatkuasa diserang 7 lelaki senjata parang



AMPANG - Sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang menyerang lima pegawai dan 20 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tidak berpuas hati tindakan MPAJ menampal notis struktur binaan haram di premis di Kampung Pandan, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pegawai dan anggota penguat kuasa MPAJ itu ditugaskan untuk memberi notis kepada penduduk dan pemilik premis atas kesalahan mendirikan struktur di tempat awam.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPAJ, Rosliza Mohd berkata, sekumpulan lelaki itu menyerang pegawai dan anggota MPAJ ketika mereka menampal notis di premis tidak berpenghuni.

“Kesemua pegawai dan anggota MPAJ melarikan diri. Tiada cedera, namun kumpulan itu merosakkan kenderaan milik MPAJ,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu memecahkan cermin lori, bocorkan dua tayar lori dan tayar sebuah motosikal.

Katanya, laporan dibuat salah seorang pegawai MPAJ di balai polis berhampiran pada keesokan hari.

“Atas nasihat polis, tindakan penyerahan notis di kawasan itu ditangguh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis menjejaki kesemua individu yang dipercayai terlibat dengan insiden itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, jika keadaan seperti itu berterusan, kerja seperti penurapan, baik pulih jalan dan longkang terpaksa ditangguh.

“Pembinaan dewan orang ramai di kawasan tersebut juga berkemungkinan akan ditangguhkan,” katanya.

Menurut kenyataan di laman sosial Adun Chempaka itu, jika keadaan tidak terkawal, program Pejabat Adun di kawasan itu juga terpaksa ditangguhkan.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Blog Anda - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger