Home » » Info : Jumaat Penghulu Segala Hari

Info : Jumaat Penghulu Segala Hari


JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah,
peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat. Banyak hadis menerangkan
kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu
Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: "Jumaat dinamakan sebagai
'Sayyidul aiyam' iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari)."

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sebaik-baik
hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan
pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat
akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu
daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya." (Hadis riwayat
Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: "Hari yang
dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan
hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak
terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari
Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila
meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan
doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan
melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kita (umat
Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu
(diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga,
padahal mereka diberi kitab lebih dahulu dari kita, sedangkan kita sesudah
mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka
perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu hari Jumaat.
Maka hari (Jumaat) adalah untuk kita, esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan
lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani." (Abu Hurairah r.a.)


Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu
dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam. Huraian hadis:

1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain
agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci,
hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.

2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari.
Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang
membesarkan hari Ahad.

3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan
dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan
menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada
terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.

4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan
Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi.
Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua
adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya
aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.


*Solat Jumaat** *

Solat Jumaaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan
hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran
Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Sesiapa
yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih
seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai
orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban
seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya
seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang
sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor
biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya
dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai
orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur.
Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut
mendengar khutbah." (Bukhari)

Huraian: Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa.
Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan
Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga
dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada
segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala
hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan 'Yaumul-mazid'
iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan
rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu
akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan
'waktu mustajab'. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga
mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang
dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat
tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari
yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari
Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi
hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada
pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat
Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini
bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa
pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu
keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: "Sesiapa
berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat,
terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi
tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan
sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan
kelalaian, yakni bersalah."

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi terlebih dulu sebagaimana
hadis daripada Abdurrahman bin Abu Sa'id Al Khudri r.a., dari bapanya,
katanya Rasulullah SAW bersabda: "Mandi hari Jumaat wajib atas tiap-tiap
orang (muslim) yang telah dewasa. Begitu pula menggosok gigi,
berharum-haruman sekadar yang dapat ia lakukan." (Abdurrahman bin Abu Sa'id
Al Khudri r.a.)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
maksudnya: "Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu,
bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama." (Hadis
riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap
pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang
Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar,
Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta
mereka datang mendengar khutbah." (Abu Hurairah r.a.)

Huraian hadis:

1. Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat
kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal
waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

2. Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat
diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang
terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut.

3. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut
mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu
seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di
dalam buku kehadiran malaikat. Umat Islam juga dituntut membuat persediaan
sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadhilatnya, termasuk dalam
berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

*Keutamaan saf pertama***

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah manusia
itu tahu keutamaan azan dan saf pertama, tetapi mereka tidak boleh
mendapatkannya melainkan dengan jalan diundi, nescaya mahulah mereka diundi.
Dan kalaulah mereka tahu keutamaan segera pergi solat nescaya mereka akan
berlumba-lumba ke sana dan kalaulah mereka tahu keutamaan solat 'Isya dan
Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun mereka akan
merangkak." (Abu Hurairah r.a.)

Dari Sa'id Al Khudri r.a katanya: "Rasulullah pernah memerhatikan para
sahabatnya yang suka berada di saf belakang. Lalu baginda bersabda kepada
mereka: "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang di belakangmu
dapat pula mengikutmu. Memang ada saja orang-orang yang suka di
belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar." (Sa'id
Al Khudri r.a.)

*Ponteng solat Jumaat?*

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa
mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah
di atas mimbar, sabdanya: "Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan
Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah
membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang
lalai?" (Muslim)

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat
Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang
meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka
bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan
orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan
tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa
segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang
dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi
kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku
kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada
sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat
Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain
daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga
merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian
agama.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Blog Anda - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger